Astro boleh ambil tindakan saman terhadap pembekal ‘Android Box‘ sekiranya mereka memiliki kandungan cetak rompak dan paten dari syarikat itu.
Penganalisis Maybank IB Research, Yin Shao Yang dalam kenyataan beliau memaklumkan bahawa pihak Astro mempunyai hak ke atas segala kandungan rancangan berdasarkan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.
Astro boleh mengambil tindakan kepada pembekal dan penjual Android Box di bawah Seksyen 51B dalam akta yang sama.
Beliau menambah, pihak Astro boleh ‘menguji’ terlebih dahulu Android Box yang berada dipasaran bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran hak cipta milik syarikat itu dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang disyaki.

“Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 membayangkan kepada kami bahawa ia berpotensi menangani masalah kandungan cetak rompak yang telah membelenggu Astro sejak enam tahun lalu.
“Akta ini jelas mengiktiraf penstriman teknologi sebagai jalan untuk melanggar hak cipta. Bacaan Seksyen 43AA membayangkan bahawa paltform e-dagang dan media sosial yang secara terbuka menjual peranti penstriman haram atau kotak android ini berkemungkinan bersalah kerana melanggar hak cipta
“Tinjauan YouGov February 2019 mendapati bahawa 87 peratus pemilik kotak android membelinya daripada platform e-dagang dan media sosial,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Astro sebelum ini telah dilaporkan memulakan langkah mendekati platform media sosial dan e-dagang bagi menghentikan penjualan Android Box yang memiliki kandungan cetak rompak syarikat itu.
Perkara itu berlaku susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat keputusan pada 24 Mei 2021 lalu bahawa penjualan Android Bos yang memiliki kandungan cetak rompak adalah haram.

Dengan keputusan itu, pihak Astro berharap pengguna di negara ini akan menamatkan langganan mereka dari beralih dari Android Box kepada perkhidmatan Astro.
Sebelum ini langganan terhadap perkhidmatan Astro jatuh merudum sebanyak 30 peratus sepanjang enam tahun lalu berikutan kemasukan Android Box dalam pasaran Malaysia ini.