Tarikh akhir pemberian vaksin COVID-19 dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) ditetapkan pada 15 Mei ini. Tarikh itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C). Justeru itu vaksin percuma kepada kanak-kanak anak dihentikan bermula 16 Mei nanti.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, bermula 16 Mei ini, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi akan menawarkan dos pertama bagi vaksin COVID-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
Ibu bapa perlu membuat keputusan sebelum 15 Mei dan selepas tarikh berkenaan, vaksin Covid-19 kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia, manakala bagi vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta, lapor BH Online.

Kanak-kanak dalam kategori yang dinyatakan itu masih boleh mendapatkan vaksinasi Covid-19 dengan mendaftar dalam aplikasi MySejahtera dan perincian mengenai perkara itu akan diperjelaskan dalam masa terdekat.
Jelas beliau juga, keputusan ini dibuat berikutan trend permintaan vaksinasi ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak yang semakin menurun.
“Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos pertama dan ibu bapa yang belum mendaftarkan anak mereka untuk vaksinasi COVID-19, boleh mendaftarkan anak dalam MySejahtera selewat-lewatnya 8 Mei ini.
“Pilihlah untuk vaksinkan anak anda bagi mengelakkan komplikasi jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya.
HOOPLA MENARIK : Netizen Persoalkan Kualiti Pelitup Muka Jovian, 2 Kali Terputus Ketika ‘Live’