Perodua Alza 2022 bakal buat kejutan ‘tapow’ semua SUV di Malaysia berikutan pengumuman terkini dari pihak Perodua yang bakal melancarkan beberapa model terkini bagi menggantikan model yang telah lama di pasaran tempatan.
Paling dinantikan adalah model SUV dari Perodua yang bertahan agak lama dalam pasaran tempatan, siapa tidak kenal Perodua Alza. Terbaru, Perodua memberi petanda bahawa model Alza akan digantikan dengan generasi baru, dan ianya hampir pasti akan dilancarkan di Malaysia.
Perodua adalah sebahagian daripada Toyota di bawah UMW Group. Umum mengetahui syarikat konglomerat itu kini sedang dalam ‘mood’ terbaik mereka apabila menikmati beberapa bulan yang sangat cemerlang apabila kedua-dua jenama itu sedang rancak melonjak.

Secara keseluruhannya sebanyak 35,246 unit kenderaan telah berjaya dijual pada Mac 2022. Jumlah itu meningkat 48 peratus berbanding 23,853 unit yang berjaya dijual pada februari 2022.
Paling mencuri tumpuan adalah Perodua telah berjaya menjual sebanyak 26,759 unit kenderaan pada bulan Mac 2022, naik 54 peratus daripada 17,421 unit bagi tempoh Februari 2022.
Perodua sebenarnya telah mencapai 25 peratus daripada sasaran jualan mereka tahun ini iaitu sebanyak 247,800 unit.
Jualan paling laris Perodua adalah model MyVi Facelift, diikuti dengan model Axia dan Bezza. Satu kejayaan yang patut dibanggakan oleh Perodua disaat negara masih dalam kemelut ekonomi yang tidak menentu semenjak Covid-19 melanda negara pada penghujung tahun 2019.

Perodua Alza hampir pasti akan digantikan dengan model yang serba baharu sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia ketika ini. Model Alza dipercayai berasaskan Daihatsu Xenia baharu yang sudah pun dilancarkan di Indonesia.
Sekiranya Perodua masih mahu mengekalkan nama Alza, harga yang bakal ditawarkan mungkin sedikit tinggi berbanding harga Perodua Alza yang ada dalam pasaran sekarang. Teknologi baru yang lebih canggih dan maju bakal ditampilkan dalam model Alza terbaru nanti seperti ADAS dalam varian tertentu.