Pasukan bolasepak dari selatan tanah air, JDT mudah baham juara 2 kali ACL Guangzhou FC dengan jaringan 5-0. Kemenangan semalam seperti sudah dijangkankan dari awal lagi apabila pasukan kendalian Pan Yonghe itu menurunkan skuad muda dengan purata umur mereka adalah berusia 21.5 tahun.
Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam pula turun dengan purata umur pemain 29.5 tahu. Jelas menunjukkan pengalaman membezakan pertembungan semalam yang menyaksikan pasukan JDT mudah menjinakkan Guangzhou FC seolah-olah JDT bermain dengan pasukan ‘budak-budak’ sekolah.
Disebalik telahan awal di atas kertas yang menyaksikan kelebihan kepada tuan rumah, JDT tetap berwaspada dan tidak mengambil mudah aksi malam tadi bagi memastikan tiga mata awal dapat dikutip.

Benjamin Mora sebelum perlawanan semalam turut memalu gendang perangnya apabila mengingatkan anak buahnya supaya sentiasa berwaspada dan tidak memandang rendah lawan mereka.
Walaupun skuad Pan Yonghe rata-rata dibarisi oleh pemain muda, negara China terkenal dengan akademi bola sepak mereka yang sentiasa melahirkan bakat-bakat baru bola sepak terbaik di Asia.
Kemenangan bergaya 5-0 semalam di Stadium Sultan Ibrahim disumbangkan oleh hatrik penyerang sensasi mereka Bergson apabila menjadi pemain pertama dari pasukan Malaysia menjaringkan hatrik di ACL. Bergson juga sedang berada di puncak kariernya apabila menjadi peledak paling berbisa dalam saingan Liga Super 2022 apabila berjaya menjaringkan tujuh gol selepeas minggu ke-4.
Jaringan keempat datang dari jaringan sendiri penjaga gol, Chen Zhengfeng dan gol kelima adalah dari kuisan cantik Muhammad Ramadhan Saifullah Usman yang mengalahkan penjaga gol.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SofaScore JDT sepatutnya menjaringkan 10 gol dari 24 kali percubaan dengan 9 daripadanya adalah percubaan tepat.

JDT dilihat tidak memberi peluang kepada pemain Guangzhou untuk membuat lebih daripada 100 hantaran tepat. Skuad muda Guangzhou hanya mampu mambuat 94 hantaran tepat sepanjang 90 minit aksi.
Ini menyebabkan mereka gagal mengawal bola lebih lama dan ia dimanfaatkan oleh JDT untuk mendominasi permainan semalam. Malah langsung tiada rekod kelecekan yang berjaya oleh anak buah Pan Yonghe malam tadi.