Kecoh di media sosial perihal peguam kepada Siti Bainun yang dikatakan telah mengeluarkan beberapa info berkaitan ‘isu dalaman’ salah satu kes yang sedang hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Kini tiba giliran Nabila Huda hentam peguam Siti Bainun itu dengan gelaran “Gila Publisiti”
Peguam tersebut kini menjadi salah seorang wakil kepada Orang Kena Tuduh (OKT) sehingga mendapat kecaman netizen di media sosial kerana tindakan beliau mengeluarkan beberapa kenyataan yang dianggap sebagai netizen sebagai ‘koyak’ setelah teruk dihentam.
Pelakon terkenal tanah air, Nabila Huda Suhaimi atau lebih mesra dengan panggilan Abil membuka cerita dirinya pernah berurusan dengan peguam tersebut. Setelah menjadi viral di media sosial gara-gara beberapa tindakan peguam tersebut yang tidak disenangi netizen, Nabila mula bersuara.

Menulis di Twitter, Nabila mendakwa peguam tersebut adalah individu yang mahu menyaman dirinya sehingga mencecah RM900,000 beberapa bulan yang lalu.
“Itulah peguam yang nak saman saya dulu. Yang nak merompak duit saya sebanyak 900k. Senangnya hidup tak payah berusaha, jadi wakil, boleh kaya terus. Orang punya la kerja siang malam pagi petang, kau ambik macam tu je eh..
“Saya tak pernah kenal dia dan taktau siapa dia. Tapi bila cerita dia nak failkan saman tu keluar, sahabat-sahabat saya bagi info dan details tentang siapakah dia. Rupanya she memang gila glamour,” tulis Nabila di Twitter.
Nabila juga pernah menyatakan bahawa beliau sendiri pelik apabila pihak media yang terlebih dahulu tahu tentang dirinya yang akan disaman.

Menurut pendedahan yang diterima, Nabila memaklumkan bahawa peguam tersebut dipercayai telah menghantar kenyataan bahawa selebriti itu akan disaman kepada pihak media terlebih dahulu sebelum mengirimkan surat saman kepadanya.
Anak kepada penyanyi rock lagenda Amy Search itu turut membuat pendedahan mengejutkan dengan mendedahkan bukti mesej yang dikirim kepada pihak media untuk mengetahui siapakah yang memberikan kenyataan berhubung kes saman itu.
Nabila sempat berpesan kepada peguam tersebut supaya berhentilah mencari publisiti dan populariti murahan. Beliau menegaskan bahawa pendedahan yang dilakukannya bukan berniat untuk menambah beban ke atas peguam berkenaan tetapi supaya beliau sentiasa bermuhasabah dan tidak mengejar kemewahan hidup dengan cara yang mudah.