Pendakwah terkenal negara Ustaz Azhar Idrus mengingatkan kepada pengamal undang-undang bahawa Islam hanya membenarkan peguam bela untuk membela mereka yang tidak bersalah, dan haram peguam makan duit hasil bela orang yang bersalah.
Menurut Azhar Idrus, ada segelintir penjenayah yang mengupah seseorang peguam bela Islam untuk mewakili mereka di mahkamah sehingga mereka terlepas dari pertuduhan.
Sekiranya perkara sebegini berlaku, maka duit hasil pendapatan peguam berkenaan adalah dianggap haram dalam Islam.
“Sekiranya peguam bela yakin orang yang diwakili olehnya tidak bersalah dan menjadi peguam bela orang itu, maka pendapatan yang diperoleh adalah halal.

“Tapi sekiranya dia yakin orang inilah yang bunuh orang itu, tapi dia bijak dan akan ubah fakta supaya orang ini tidak nampak membunuh adan akhirnya dibebaskan, dia dipanggil bertolong-tolong atas perkara zalim. Tidak boleh,” katanya dalam satu perkongsian di TikTok.
Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana kes, kenyataan Azhar Idrus itu hadir dikala satu Malaysia kecoh dengan kisah penderaan seorang kanak-kanak istimewa dengan pemilik rumah kebajikan berkenaan.

Sebelum ini, seramai 10 orang peguam bela yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun yang juga orang kena tuduh (OKT) ketika perbicaraan kes penderaan kanak-kanak OKU dilihat dalam keadaan ‘bergembira’ apabila salah seorang dari mereka memuat naik sekeping gambar bersama OKT dengan aksi yang tidak sepatutnya.
Rata-rata netizen menganggap peguam-peguam yang terlibat dengan kes tersebut menyokong kekejaman yang dilakukan oleh OKT terhadap Bella meskipun mahkamah belum membuat keputusan sama ada Siti Bainun didapati bersalah atau tidak.
Siti Bainun sebelum ini menghadapi dua pertuduhan pengabaian dan menganiaya kanak-kanak perempuan OKU sehingga mangsa mengalami kecederaan serius serta tekanan emosi.
Pengasas Rumah Bonda itu dituduh melakukan perbuatan terkeji itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan terhadap dirinya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara selama 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.