Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menumbangkan wakil pasukan elit dari Korea Selatan Ulsan Hyundai 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bukan sebagai nasib atau tuah semata-mata. Kejayaan pasukan dari selatan tanah air itu adalah disebabkan 5 rahsia JDT mudah menjinakkan Ulsan Hyundai dalam saingan ACL akan dibongkarkan dalam artikel ini.
Umum mengetahui bukanlah mudah mana-mana pasukan dari Malaysia untuk mengalahkan pasukan berstatus elit luar sebelum ini tambah-tambah lagi pasukan dari Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai pasukan yang lebih mantap.
Anak buah Benjamin Mora itu berhadapan dengan pasukan Ulsan Hyundai, pasukan elit dari Korea Selatan yang pernah menjuarai ACL 2012 dan 2020 selain belum lagi tewas dalam saingan Liga K1 musim ini di Korea Selatan.
Sambutan yang luar biasa selepas kemangan JDT menewaskan Ulsan Hyundai adalah wajar walaupun ianya baru aksi kedua peringkat Kumpulan 1 dan kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada pusingan kedua 30 April nanti.
5 rahsia kepada kemenangan JDT menumpaskan Ulsan Hyundai dan ia dianggap kekuatan yang dimiliki oleh pasukan harimau selatan itu.
i – JDT mempunyai mentaliti pemain dan pasukan yang tinggi
Pasukan JDT dibentuk untuk tidak takut dan gentar menghadapi mana-mana lawan dan mereka menunjukkan keyakinan yang tinggi dan kemenangan keatas Ulsan Hyundai adalah kerana mentaliti juara yang berjaya diterapkan oleh Benjamin Mora dan pemilik pasukan Tengku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim Ismail atau lebih mesra disapa dengan TMJ.
Kemenangan besar ketika membelasah Guangzhou sebelum itu dengan 5-0 memberikan motivasi yang lebih tinggi kepada setiap pemain untuk membuktikan kualiti yang dimiliki mereka setaraf dengan pemain Asia yang lain.

ii – Taktikal Benjamin Mora
Benjamin Mora terkenal dengan perancangan taktikal yang boleh mengkucar-kacirkan pasukan lawan sekaligus menambah keyakinan pasukan ketika bertemu lawan.
Pengendali dari Mexico sudah semestinya telah melalukan kerja rumah mengenai corak permainan pasukan Ulsan Hyundai kendalian Hong Myung-bo.
Taktikal Mora berhasil apabila tekanan dari awal diberikan oleh JDT sehingga menyebabkan pasukan Ulsan Hyundai tidak boleh bermain mengikut rentak mereka seperti sebelum ini.

iii – Ketajaman Bergson dan Forestieri
Bergson Da Silva boleh dianggap penyerang terbaik yang pernah dimiliki oleh JDT dan kehadiran Fernando Forestieri melengkapkan lagi duo itu di bahagian serangan.
Empat gol dari dua perlawanan awal ACL musim ini cukup membuktikan kualiti penyudahan yang dimiliki oleh Bergson.

iv – Stadium Sultan Ibrahim
Keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Stadium Sultan Ibrahim untuk saingan Kumpulan 1 boleh dianggap sebaik tuah kepada JDT.
Kualiti stadium yang terbaik dengan padang serba baharu merupakan kelebihan yang ada pada JDT. Pemain JDT sudah biasa dengan padang dan rumput di stadium tersebut dan corak permainan JDT tidak terjejas berbanding ketika bermain di stadium dengan padang yang kurang baik.

v – Magis TMJ
TMJ sebelum ini hanya menyasarkan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan sahaja. Ini menyaksikan pemain bermain dalam keadaan tanpa tekanan walaupun TMJ sendiri sedar pelaburan yang tinggi dengan kemasukan pemain-pemain import berstatus elit dari luar.
Kehadiran TMJ dalam setiap perlawanan juga menunjukkan komitmen beliau yang pastinya mengangkat motivasi pemain Harimau Selatan untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas ACL.
