Antara perkara yang menarik dikongsikan dalam Bajet 2022 adalah cadangan pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais, cukai jualan dan cukai jalan bagi kenderaan EV oleh kerajaan menyebabkan banyak pengeluar kereta mula berubah kepada kenderaan EV. Apa yang menarik adalah, kini tular lakaran Perodua MyVi terbaru Generasi EV yang dikatakan mampu tapow Honda City?
Saharuddin Busri yang terkenal dengan kerja-kerja rekaan beliau berkongsikan lakaran Perodua MyVi Generasi EV yang tampak lebih garang dan mengancam.
Menurut beliau, Perodua MyVi ketika ini terlalu ‘sibuk’ dengan garis tajam dan berketul yang kelihatan amat ketara pada rekaan badan kenderaan tersebut. Baginya penampilan MyVi Generasi EV perlu lebih bersih dan kemas selaras dengan perkembangan rekaan model-model EV lain yang terdapat dipasaran automotif dunia.

Inspirasi rekaan MyVi Generasi EV diambil dari model terkini Volvo dan model yang menjadi rujukan MyVi Generasi EV adalah Volkswagen Golf yang menampilkan imej sporty dan keteguhan binaannya.
Imej ‘simple’ yang ingin ditonjolkan sangat terserlah dengan hud depan hanya mempunyai dua garisan lurus yang kemudiannya menjurus kepada wajah depan yang lebih bersih dengan kemasan jalur lampu LED melintang penuh yang kelihatan sangat ‘elegent’.
Dari bahagian sisi, rekaan MyVi Generasi EV ini kelihatan sangat gagah dengan garis baru yang ketara memisahkan dua bahagian utama kenderaan itu. Garisan lengkuk di badan memberikan kesan ‘berotot’ yang menampakkannya lebih ‘sporty’.

Paling mencuri tumpuan adalah bahagian belakang. Sekali pandang rekaan MyVi Generasi EV ini kelihatan seolah-olah rekaan sebuah SUV. Dengan jalur lampu LED memanjang menampakkan kenderaan ini lebih lebar dengan lampu minimalis yang sangat cantik.
Sekiranya pihak Perodua mengambil inspirasi MyVi Generasi EV ini ke dalam model mereka, pastinya ia akan mendapat permintaan tinggi dari rakyat negara ini. Siapa yang tidak mahu MyVi?