Apa yang tidak kena dalam pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim ini sehinggakan pasukan Sang Kenari itu mendapat kecaman demi kecaman dari penyokong mereka sendiri. 3 kesilapan Kedah akibat pengurusan pasukan buat “silap percaturan” yang mengakibatkan Kedah kini terumbang ambing.
Kedah bukanlah sebuah pasukan belasahan dalam Liga Super, malah boleh dikatakan Kedah adalah di antara pasukan elit dalam saingan liga bola sepak tempatan. Sering tampil dengan aksi-aksi yang menarik dan meyakinkan di setiap musim menjadikan pasukan Kedah antara yang digeruni oleh lawan.
Namun, musim ini Kedah dilihat amat berbeza berbanding musim-musim sebelumnya. Aura pasukan Kedah semakin hilang dan para penyokong sudah mula berani menyuarakan kegelisahan mereka terhadap prestasi pasukan kesayangan mereka itu.
Mana tidaknya bermula dengan kekalahan memalukan kepada Selangor, Sabah dan yang terbaru tumpas kepada Melaka FC 2-3 di laman sendiri.
Keputusan yang tidak menyebelahi KDA FC. Bangkit dan terus ke hadapan.
FT: KDA FC 2-3 MELAKA UTD FC
⚽ 25′ NGAH WANJA KDA FC
⚽ 28′ IFEDAYO MUFC
⚽ 38′ SYAFIQ AHMAD KDA FC
⚽ 78′ EMANUEL OTTE MUFC
⚽ 90′ IFEDAYO MUFC
🔴 LIVE di Unifi TV, Youtube Unifi pic.twitter.com/qJ5TRDHMSM
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) May 6, 2022
Ramai penyokong mula mempersoalkan keputusan pengurusan pasukan Kedah di awal musim yang lalu sehingga menyebabkan pasukan itu kini berada dalam keadaan terumbang-ambing. 3 kesilapan pengurusan Kedah yang dikatakan “silap percaturan” dalam keputusan penting berkaitan masa depan pasukan itu.
1. BAJET KDA FC DIKURANGKAN PADA MUSIM 2022
Tindakan pengurusan tertingga KDA FC mengurangkan bajet dari RM30 juta kepada RM22 juta pada musim ini banyak mempengaruhi pasukan dari utara tanah air itu. Dengan bajet yang dipotong sudah semestinya Kedah terpaksa melepaskan beberapa pemain yang berkualiti untuk mengurangkan kos pengurusan pasukan.
Aidil Sharin juga dilihat mengalami kesukaran mencari pemain yang beliau kehendaki apatah lagi untuk mendapatkan pemain import berkualiti bagi menghadapi saingan liga dan kejuaraan AFC.
Kelemahan pengurusan tertinggi Kedah yang gagal mendapatkan tajaan yang lebih besar serta kegagalan mereka untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat ternama tempatan dan antarabangsa turut menjejaskan pembentukan pasukan Kedah pada musim ini.
Hasilnya, Kedah terpaksa menggunakan bajet yang ada untuk mendapatkan pemain-pemain yang kurang berkualiti seperti Dennis Buschening berbanding dengan kualiti yang ditampilkan oleh Tchetche Kipre musim lalu pada posisi yang sama.

2. PEMAIN IMPORT TIADA KUALITI
Setiap kali musim liga bermula, Kedah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil lima pemain import untuk melengkapkan kouta pemain import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.
Namun dalam lima pemain import yang diambil pastinya akan ada seorang atau dua pemain yang begitu rendah kualitinya malah kadang-kala pemain tempatan jauh lebih baik dari mereka.
Apa yang menjadi kegusaran adalah, Kedah kerap kali membawa masuk pemain import yang mempunyai rekod kecederaan lampau yang boleh merencatkan pembentukan pasukan Kedah di masa hadapan.
Adakah pasukan Kedah tidak mempunyai ‘scouting’ mereka sendiri? Jika hanya bergantung kepada ejen semata-mata pastinya pemain yang betul-betul menepati citarasa pengendali pasukan susah untuk diperolehi. Ejen sudah semestinya akan memikirkan keuntungan yang bakal diperolehi, maka harga yang diletakkan pastinya akan berlipat kali ganda dan itu merugikan pasukan.
GET WELL SOON DB10
Dennis Buschening terpaksa berehat panjang selepas disahkan mengalami kecederaan Achilles, menurut Aidil Sharin Sahak, Ketua Jurulatih KDA FC. pic.twitter.com/VlmoroTI43
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) April 7, 2022
3. BAKAT MUDA MAKIN HILANG
Kedah patut berbangga kerana pasukan itu sejak dari dahulu adalah salah sebuah pasukan yang banyak melahirkan bakat-bakat muda pemain bola sepak di Malaysia. Sebut sahaja nama Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Ifwat Akmal, Akhyar Rashid, Amirul Hisyam, Syafiq Ahmad, Farhan Roslan dan ramai lagi.
Pemain-pemain ini adalah di antara produk Kedah yang berjaya mencipta nama dan memberikan impak yang cukup besar kepada bola sepak negara. Mempunyai kualiti permainan yang cukup baik dengan skill individu yang tinggi menjadikan mereka antara pemain kegemaran pengendali dan para penyokong. Mereka juga kerap kali dipanggil untuk membarisi kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya.
Selepas nama Fayadh Zulkifli dan Fadzrul Danel, Kedah seolah-olah sudah hilang ‘ubi muda’ mereka. Tiada lagi kedengaran nama pemain muda Kedah yang menonjol dalam liga tempatan mahupun terpilih mewakili negara.
90+2′ GOL | Fayadh Zulkifli menyudahkan gerakan “1-2” yang menarik untuk gol Kedah Darul Aman FC!@selangorfc 4-1 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/BlBxwHbqiq
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) April 10, 2022
Pihak pengurusan Kedah perlu segera memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Walaupun kalah, penyokong tetap sayangkan pasukan dan mahu Kedah segera bangkit.