Bérgson Gustavo Silveira dan Ronald Ngah Wanja kini menjadi dua penjaring paling banyak dalam saingan Liga Super 2022. Masing-masing menjaringkan tujuh gol untuk mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Super ketika ini. Namun jika diteliti antara Bergson vs Ngah Wanja siapa lagi hebat?
Mengikut statistik terkini Liga Super 2022, Bergson telah diturunkan sebanyak lima kali dengan tujuh gol dan satu ‘assists’. Manakala lawannya Ngah Wanja telah diturunkan sebanyak lapan kali dengan tujuh jaringan gol tanpa sebarang ‘assists’.
Namun aksi Bergson ketika ini dilihat lebih menyerlah berbanding Ngah Wanja yang kerap kali dikecam gara-gara prestasi semasa penyerang pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu yang tidak konsisten.
Prestasi hambar Ngah Wanja atau lebih mesra disapa dengan Pak Ngah sebelum ini menjadi persoalan dikalangan peminat tempatan. Kegagalan beliau mencipta peluang dan menjaringkan gol apabila mendapat umpanan cantik dari rakan sepasukan kerap kali mengecewakan peminat Kedah dan sudah ada suara-suara penyokong yang meminta pihak pengurusan KDA FC untuk segera mencari pengganti baru menggantikan pemain penyerang itu.

Namun dengan tujuh gol yang dijaringkan oleh Ngah Wanja setakat ini membuktikan pemain itu bukanlah import yang gagal seperti yang digembar-gemburkan oleh netizen. Prestasi terkini penyerang dari Cameroon itu dilihat mula meningkat dengan persembahan yang semakin mantap ditampilkan oleh penyerang Kedah itu. Penyokong Kedah ketika ini berharap prestasi yang lebih konsisten dari penyerang yang pernah dinobatkan penjaring terbanyak Liga Pro Jordan ketika bersama pasukan Al-Salt itu.
Lain pula buat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson kerana nama pemain itu kerap meniti di bibir penyokong mereka dengan pujian kerana aksi konsisten yang sering ditunjukkan oleh penyerang JDT itu. Bergson kerap kali menampilkan permainan yang menarik setiap kali diturunkan sama ada dalam saingan Liga Super atau ketika kejuaraan ACL 2022. Aksi yang konsisten dari penyerang yang berasal dari Brazil itu berjaya meletakkan JDT sebagai pasukan yang digeruni dalam saingan pada tahun ini.
Sebelum ini penyerang berbisa JDT itu telah membuktikan ketajaman beliau apabila berjaya menyempurnakan dua sepakan penalti di awal dan di akhir permainan bagi memastikan JDT mengutip tiga mata untuk mengungguli Kumpulan I dalam saingan ACL 2022.

Sejarah bola sepak negara tercatat buat pertama kalinya apabila JDT berjaya menjadi pasukan pertama dari Malaysia berentap dalam 16 pasukan elit terbaik di Asia. Kejayaan menewaskan pasukan gergasi Asia dalam Kumpulan I seperti Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC sudah cukup membuktikan kejagoan JDT.
Dengan perlawanan yang masih panjang, prestasi semasa kedua-dua penyerang itu akan menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan. Siapakah yang lebih layak dinobatkan selaku penjaring paling berharga dan merbahaya dalam saingan Liga Super 2022.