Laman rasmi Facebook Kedah Darul Aman (KDA) FC semalam telah mengeluarkan kenyataan terbaru berhubung isu fitnah yang melanda pasukan itu. Dengan hati yang terbuka pihak pengurusan Kedah terima permohonan maaf isu fitnah yang tular sebelum ini dan berharap perkara sebegitu tidak berulang lagi.
Sebelum ini pihak KDA FC telah mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang boleh merosakkan imej pasukan dari utara tanah air itu.
Kenyataan sebelum ini yang mendakwa isu tunggakan gaji selama empat bulan telah dinafikan oleh KDA FC dan mendakwa ianya adalah fitnah yang direka-reka untuk merosakkan imej pasukan itu.
Rentetan dari isu tersebut, seorang individu yang dikenali sebagai Muhammad Haikal Afiq tambil membuat permohonan maaf atas penyebaran berita palsu tersebut menerusi peguam yang dilantik, Tetuan Fahmi Zhafri Ashraf & Co.
KENYATAAN MEDIA KDA FC
Tarikh: 15 Mei 2022, Ahad
KDA FC TERIMA PERMOHONAN MAAF ISU FITNAH TUNGGAKAN GAJI
Berita penuh: https://t.co/6RWoWOaCnx pic.twitter.com/cHsq4LbnKW
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) May 15, 2022
“Saya, Muhammad Haikal Afiq, dengan suci hati dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak mengakui bahawa kenyataan saya di aplikasi WhatsApp yang menjadi punca tersebar berita tidak benar berkaitan dengan isu kelewatan pembayaran gaji pemain KDA FC selama 4 bulan adalah fakta yang tidak tepat sama sekali dan tiada sebarang asas terhadap pernyataan tersebut.
“Saya akui bahawa ketelanjuran saya membuat hantaran Whatsapp tersebut telah secara langsung telah mencemarkan nama baik kelab KDA FC dan telah memalitkan nama baik YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah selaku Presiden Kedah FA.
“Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan tertinggi KDA FC yang sudi untuk menerima permohonan maaf saya ini dan mengendalikan isu ini dengan etika profesional yang tinggi.
“Saya dengan ini ingin memohon maaf kepada kelab KDA FC dan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor atas ketelanjuran saya mengeluarkan kenyataan yang tiada sebarang asas kebenaran dan dibuat atas sebab emosi dan andaian persendirian semata-mata.
“Saya menasihatkan semua pihak diluar sana agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan dan memastikan sumber dan fakta yang betul sebelum menyebarkan kepada umum.
“Saya berharap permohonan maaf ini diterima baik semua dan memohon agar perkara ini dapat diselesaikan tanpa perlu dipanjangkan ke Mahkamah,” jelas dirinya.

Sebelum ini prestasi yang tidak menentu dari pasukan KDA FC di dalam saingan liga mendapat kecaman dari netizen. Rata-rata netizen menjadikan media sosial sebagai medan perbahasan berkaitan dengan isu tersebut. Namun ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyebarkan kenyataan palsu yang memburukkan lagi keadaan.
KDA FC turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kenyataan atau berita palsu serta memadam hantaran yang telah disebarkan bagi menjaga imej pasukan dari utara tanah air itu. KDA FC juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perkara sebegitu berulang lagi.