Datuk Ong Kim Swee sekali lagi mencipta kejutan apabila menukar peranan Baddrol Bakhtiar sebagai perancang tengah kepada senjata pembunuh berbahaya Sabah FC pada perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya. Tanpa menunggu lama Baddrol Bakhtiar cipta magis selaku penyerang utama Sabah FC dengan membantu kelab itu menundukkan Penang FC dengan jaringan 4-2.
Tindakan berani dari Datuk Ong Kim Swee membuat percaturan ‘gila’ berjaya apabila Baddrol Bakhtiar yang ditukar menjadi penyerang utama berjaya menghasilkan gol cantik menerusi tandukan terbang dan jaringan akrobatik yang memukau penonton.
Kim Swee hadir dengan formasi 3-4-3 dimana Baddrol diletakkan sebagai penyerang utama dan dibantu oleh Amri Yahyah dan Taiki Kagayama dari sebelah kanan dan kiri. Di atas kertas, posisi penyerang utama amat janggal untuk Baddrol kerana ketika beraksi bersama pasukan Kedah, Baddrol kerap kali diturunkan sebagai pemain di bahagian tengah.

Namun dua gol menarik hasil jaringan dari bekas Captain Marvel Kedah itu pada minit ke-22 dan 61 membuktikan Baddrol mampu menjadi igauan pasukan lawan dengan magis yang beliau miliki. Berbekalkan dengan pengalaman, pemain itu juga memiliki kuali hantaran yang cukup baik dan penyudah yang tajam.
Baddrol berjaya mencetak nama selaku penjaring pertama Sabah FC apabila mendapat umpanan cantik dari Saddil Ramdani yang bijak mencipta peluang dengan membuat hantaran lintang rendah sebelum ditanduk cantik oleh Baddrol. Ternyata ketajaman Baddrol sebagai penyerang utama Sabah FC terbukti dengan tandukan cantik bagi menghadiahkan gol pertama buat Sabah FC.
23' GOL | Baddrol Bakhtiar menanduk masuk hantaran lintang Saddil Ramdani untuk membuka tirai jaringan di Stadium Bandaraya!@Penang_FC 0-1 @SabahFCofficial #LigaSuper2022 pic.twitter.com/uauSFGKczp
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) May 17, 2022
Asakan demi asakan dari pasukan Sabah FC kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan Penang FC dengan beberapa kali peluang berjaya dicipta oleh Baddrol.
Sabah FC membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menghasilkan tiga jaringan berturut-turut menerusi bek tengah Jackson, penyerang utama Baddrol Bakhtiar dan Stuart Wilkin dalam tempoh 10 minit sahaja.
Pada minit ke-61, Baddrol sekali lagi membuktikan bahawa bekas pemain Kedah itu adalah lagend apabila berjaya menjaringkan gol menerusi jaringan akrobatik yang sangat menarik.
Ketepatan dan ketajaman Baddrol di hadapan pintu gol tidak dapat disangkal lagi dan beliau membuktikan bahawa dirinya masih mampu menjadi antara pemain berharga dalam Liga Super pada tahun ini.
60' GOL | Baddrol Bakhtiar melakukan "overhead kick" untuk gol ketiga Sabah malam ini!@Penang_FC 1-3 @SabahFCofficial #LigaSuper2022 pic.twitter.com/rXBHubjCWc
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) May 17, 2022
Ternyata percaturan terbaru dari Kim Swee benar-benar menjadi kali ini dengan Baddrol Bakhtiar dilihat mampu memikul peranan sebagai penggempur berbisa Sabah FC dalam saingan liga musim ini.