Kecoh data peribadi rakyat Malaysia dijual pada harga RM43,000. Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh Amanz yang mendakwa data peribadi rakyat Malaysia yang lahir dari tahun 1940 hingga 2004 milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijual pada harga US$10,000.
Menurut sebuah forum atas talian Lowyat, perkara yang sama juga telah berlaku pada tahun 2021 di mana data dijual di laman terbuka sebelum pihak Amerika Syarikat bertindak menghapuskan laman web tersebut.

Data rakyat negara ini dikatakan dijual melalui pasaran gelap sebelum ianya disenaraikan di platform lain yang lebih mudah untuk diakses.

Penjual turut mendakwa myIDENTITY API – platform perkongsian data yang telah direka untuk agensi kerajaan mendapatkan maklumat peribadi merupakan sumber terbaru yang dimiliki oleh penjual. Difahamkan sebanyak 104 agensi yang menggunakan platform tersebut untuk mendapatkan data peribadi rakyat Malaysia.
Difahamkan penjual turut mempunyai senarai penuh maklumat peribadi seperti nama, nombor MyKad, alamat, tarikh lahir, jantina, bangsa, agama, nombor mudah alih dan gambar.

Bagi membuktikan data yang dimiliki oleh penjual itu tulen, penjual turut menyiarkan data peribadi milik Hamzah Zainudin dalam senarai mereka bagi meyakinkan pembeli.
Setakat sekarang tiada lagi kenyataan rasmi dari pihak JPN berkaitan dengan dakwaan tersebut.
