Pengarah syarikat dedah ‘suap’ Zahid Hamidi hingga RM1.6 juta sebulan ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri. Zahid Hamidi kini berdepan dengan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada sebuah syarikat bagi melanjutkan kontrak perjanjian.
Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khun membuat pendedahan mengejutkan apabila mengesahkan kepada Mahkmah Tinggi bahawa pihaknya ada menghantar wang tunai kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dengan kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN) sebanyak SG$200,000 (RM633,801) bermula dari akhir tahun 2014 dan kemudiannya jumlah itu meningkat kepada SG$520,000 (RM1,647,613) sebulan pada tahun 2017.
Kesalahan itu dilakukan oleh Zahid ketika beliau menjawat jawatan selaku Menteri Dalam Negeri. Lanjutan kontrak perjanjian itu dilakukan bagi membolehkan syarikat tersebut terus menjadi pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta turut mengekalkan kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat dibawah KDN.

Harry turut mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi, bahawa beliau beberapa kali mengunjungi Zahid Hamidi di Country Heights, Kajang dan telah diminta untuk meningkatkan jumlah ‘sumbangan’ bulanan. Mereka bersetuju untuk menaikkan ‘sumbangan’ kepada SG$300,000 sebulan.
Pada tahun 2017, Harry memaklumkan bahawa beliau sekali lagi berjumpa dengan Zahid Hamidi dan beliau sekali lagi diminta untuk menaikkan kadar ‘sumbangan’ berikutan pilihanraya umum bakal dilaksanakan dalam masa terdekat. Harry bersama Wan Quoris dan David bersetuju untuk menaikkan ‘sumbangan’ dari SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan.
Wang ‘sumbangan’ itu dipercayai bagi membantu kempen pilihanraya UMNO yang ketika itu sangat memerlukan dana pilihanraya.
”Dalam perbincangan kami, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian UMNO dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan,” kata Harry.
Bekas Pengarah UKSB itu juga mendedahkan bahawa pernah menaja perjalanan ke luar negara Zahid Hamidi, majlis hari jadi isteri Zahid dan sambutan hari raya. Tajaan tersebut adalah sebagai ‘sumbangan’ tambahan bulanan dari syarikat kepada Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018.