Ringgit Malaysia dijangka cecah RM5.50 untuk AS$1 dalam masa terdekat dan ia merupakan tragedi malang bagi negara. Jika trend penyusutan nilai mata wang negara semakin menjunam ia akan menjadi perkara yang terburuk dalam sejarah Malaysia.
Kerajaan didesak untuk segera menumpukan perhatian untuk memulihkan segera situasi ini dan penambahbaikkan tukaran asing supaya Ringgit Malaysia tidak terus menjunam.
Sebelum ini ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga mantan Menteri Kewangan pernah mengingatkan kemerosotan nilai ringgit akan memberikan kesan yang amat dahsyat kepada negara.
“Sekarang ini pun, ringgit sudah jatuh kepada RM4.40 berbanding dengan AS$1 dan ini akan menjadi lebih teruk.
“Jika terus jatuh, lepas ini kita dah tak boleh beli apa-apa. Dah tak ada nilai. Sebagai contoh, kalau nilai ringgit kita jatuh kepada lima sen misalnya apa yang kita boleh beli? Ini masalah yang sebenarnya,” ujar beliau.

Tengku Razaleigh turut meminta rakyat ketika ini untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhati-hati.
“Saya tak nak ugut atau menakutkan sesiapa, keadaan ini akan berlaku. Kita hanya ada dua bulan bekalan makanan, padahal penduduk kita lebih ramai berbanding Singapura yang ada bekalan hingga enam tahun.
“Kalau kita tak ambil tindakan segera kita akan berhadapan dengan masalah. Bukan sahaja masalah ekonomi tetapi masalah sosial dan macam saya sebut tadilah keadaan akan jadi huru-hara serta demonstrasi terutama sekali oleh orang bukan berada,” katanya.
Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera bagi menyelaraskan kembali usaha-usaha untuk menangani masalah krisis makanan yang bakal melanda dunia.