Walaupun Singapura terletak bersebelahan dengan Malaysia, namun tidak dinafikan negara itu jauh lebih maju dari Malaysia. Terkini sebuah restoran menawarkan gaji pencuci pinggan di Singapura RM12,000 kerana jawatan itu sudah lama tidak terisi lapor MustShareNews.
Pemilik Restoran Ishinomaki Grill & Sake yang terletak di Orchard Road, Chen Weixin memberitahu Shin Min Daily News pekerjaan biasa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia sebelum ini dengan gaji sebanyak SG$50 (RM160) sehari tidak mendapat sambutan.

Namun segala-galanya berubah dengan sekelip mata apabila beliau menawarkan gaji sebanyak SG$3,500 sebulan bersamaan dengan gaji minimum seorang graduan dari universiti.
Rakyat Singapura tidak berminat untuk bekerja sebagai pencuci pinggan dan beliau terpaksa bergantung kepada pekerja dari Malaysia. Disebabkan wabak Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini, ramai rakyat Malaysia yang pulang ke negara asal.

Sebelum ini Shin Min Daily News melaporkan bahawa beberapa jawatan kosong di dalam perniagaan F&B terpaksa menawarkan gaji yang tinggi sehingga SG$4,000 (RM12,783) sebulan untuk membasuh pinggan dan bonus sehingga SG$3,000 (RM9,587).
Seorang pengusaha F&B di Singapura memberitahu bahawa mereka terpaksa menawarkan gaji pokok SG&2,600 (RM8,309) dengan bonus pekerja sebanyak SG$2,000 (RM6,391) dan bonus prestasi sehingga SG$1,000 (RM3,200) sebulan.
Ketua pegawai eksekutif Restoran Tung Lok Andrew Tjoe berkata mereka mengupah sebuah syarikat pembersihan 10 tahun lalu untuk menangani isu ini, membayar mereka antara SG$3,800 hingga SG$4,000 setiap pekerja, lapor Shin Min Daily News.
Untuk rekod, cabaran dalam mengupah kakitangan untuk membasuh pinggan bukanlah perkara baru dalam industri F&B di Singapura dan ia mula hangat diperkatakan sejak tahun 2012 lagi. Walaupun gaji yang ditawarkan tinggi, namun tiada siapa yang sanggup untuk bekerja di bahagian belakang dapur.

