Kelab bola sepak berpengkalan di Thailand, Chonburi FC mengumumkan penamatan kontrak pemain pertahanan mereka Junior Eldstal. Kini khabar angin mula bertiup kencang di mana dikatakan Junior Eldstal diintai Kedah FC bagi memperkukuhkan pertahanan mereka susulan ketiadaan Jang Suk-won yang juga ditamatkan kontrak oleh Kedah baru-baru ini.
Media turut melaporkan, Junior tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Liga Malaysia selepas beraksi dengan cemerlang di Liga Thailand.
Kini kelibat pertahanan berdarah kacukan Malaysia-Sweden itu mula menjadi bualan peminat tempatan. Junior mula dikaitkan dengan lima gergasi Liga Malaysia yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan berbadan tegap itu.

Antara kelab yang menjadi sebutan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sawarak United, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Terengganu FC dan Sabah FC.
Karier Junior di Liga Malaysia bermula pada 2013 bersama Sarawak ketika era Robert Alberts dan sempat membantu skuad Bujang Senang menjuarai saingan Liga Perdana pada musim itu dengan rekod tanpa kalah.
Beliau mulai bangkit ketika beraksi bersama Metropolitan Police FC di Divisyen ke-7 Liga Inggeris selama dua musim sebelum menyertai Chonburi untuk saingan musim 2021.
Prestasi cemerlang Junior bersama Chonburi kemudiannya turut mendapat perhatian Tan Cheng Hoe sehingga pemain itu dipanggil kembali menyertai skuad kebangsaan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 pada Jun lalu.

Junior juga merupakan sebahagian daripada sebahagian skuad Harimau Malaya yang beraksi di kejohanan Piala AFF 2020 yang lalu.
Pemain pertahanan Kedah, Jang Suk-won sebelum ini memulakan aksi bersama KDA FC selaku import baharu bagi memperkuatkan pertahanan Kedah untuk menghadapi perlawanan di pentas AFC.
Namun, jodoh Jang bersama Kedah tidak panjang dengan siri kecederaan dan prestasi semasa yang tidak meyakinkan. Kegagalan Jang mengemudi pertahanan Kedah menyaksikan pasukan Kedah berhadapan dengan empat perlawanan terakhir tanpa sebarang kemenangan dan dibolosi dengan jumlah gol yang besar.
Sekiranya pasukan Kedah berhasrat memperkukuhkan kembali bahagian pertahanan skuad mereka, kemasukkan Junior sebagai pemain tempatan dilihat mampu memulihkan kembali semangat pemain Kedah ketika ini yang dilihat agak terumbang-ambing selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka.
