Tindakan melampau sesetengah pemilik produk atau pengasas produk menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimiliki semakin ketara sejak akhir-akhir ini. Terbaru tindakan pengasas Bawal Exclusive @halizamaysuri memuat naik video “telekung harga RM16,000 untuk jumpa Allah” mengundang kecaman dari netizen.
Menerusi video pendek yang mula viral di TikTok itu, pengasas kepada tudung terkenal itu memaklumkan telekung yang dipakai bernilai RM16,000 yang digunakan untuk berjumpa Allah.
Tindakan itu dilihat seperti ingin menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimiliki malah Haliza juga turut dikatakan tidak ada rasa rendah diri apabila turut mengakui tidak rasa bersalah memakai beg yang berharga belasan ribu ringgit apabila berjumpa rakan-rakan.
@halizamaysuri Semuanya Allah yang bagi 💚
♬ Bukan Aisyah bukan Siti Khodijah – Iren Lafebian
Tindakan founder itu bukan mendapat pujian malah netizen turut tidak berpuas hati dengan analogi salah yang diberikan oleh Haliza itu. Ada juga netizen yang menyarankan supaya dia tidak memberitahu harga telekung yang dipakai kerana perkara itu sepatutnya bukan menjadi sesuatu yang perlu diheboh-hebohkan.
Jika amal ibadat mula dimasuki dengan unsur wang ringgit, maka selepas ini akan berlumba-lumbalah orang menayang kekayaan ketika ingin mengerjakan ibadah. Ia bukannya sesuatu yang patut dibanggakan kerana tujuan beribadah adalah melahirkan keinsafan di dalam diri.

Malah ada juga netizen dari kalangan yang bukan beragama Islam menegur perbuatan Haliza itu dengan mengatakan, tuhan tidak melihat harga pakaian yang dipakai ketika beribadat tetapi tuhan melihat hati yang tulus ikhlas.
Sebelum ini pengasas tudung tersebut pernah mencetuskan perdebatan apabila syarikatnya mengeluarkan tudung bawal yang berharga mencecah RM33,000. Jenama tudung bawal itu sudah terkenal di dalam pasaran tempatan dan sudah mencecah hampir 23 tahun penubuhan syarikat itu.