Kerajaan Malaysia kena bayar RM3.1 juta kepada seorang pemuda apabila alat sulitnya terpotong ketika berkhatan 12 tahun lepas. Keputusan tersebut telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang membenarkan ganti rugi kepada pemuda berusia 22 tahun itu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan Kerajaan Malaysia dan empat yang lain membayar ganti rugi sebanyak RM3.1 juta kepada mangsa dalam kes kecuaian yang berlaku 12 tahun lepas.
Tiada ganti rugi yang dapat menggantikan ‘aset’ pemuda tersebut serta tekanan perasaan yang dialami oleh beliau. Mahkamah berpandangan ganti rugi tersebut boleh membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa.

Mengikut keterangan saksi pakar, pemuda tersebut tidak lagi dapat menikmati hubungan kelamin.
“Ibu mangsa dalam keterangannya memberitahu, sejak kejadian berlaku ketika anaknya berusia 10 tahun, mangsa tidak lagi berinteraksi dengan orang lain dengan normal kerana tidak mempunyai keyakinan diri.

“Walaupun mangsa timbul keberanian untuk berkahwin, tiada mana-mana perempuan yang akan berkahwin dengannya sekiranya mengetahui keadaan yang dialami mangsa,”katanya.
Saman tersebut difailkan pada 10 Julai 2018 oleh pemuda tersebut melalui ibunya ketika berusia 18 tahun. Mangsa turut menamakan Kerajaan Malaysia, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pengarah Hospital, doktor pakar dan Pengarah Hospital Selayang selaku defendan.
7 April lalu, mahkamah telah memutuskan kesemua defenden membayar ganti rugi kepada mangsa sebanyak RM3.1 juta.
Tututan ganti rugi itu meliputi tuntutan khas berjumlah RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM500,000.
Insiden yang berlaku kepada mangsa yang berusia 10 tahun ketika itu mengakibatkan keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan tidak dilakukan dengan prosedur yang betul.
Menurut hakim sepatutnya zakar mangsa dapat diselamatkan sekiranya pembedahan mikro dapat dilakukan pada ketika itu.
