Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi antara pasukan yang paling aktif dalam jendela perpindahan kedua musim ini apabila segera mencari pengganti kepada Jang Suk-won. “Anak Pendang” jadi pertahanan baru pasukan Kedah apabila bekas tonggak pertahanan Melaka United itu baru selesai menandatangani kontrak bersama Sang Kenari.
Mohd Akmal Md Zahir anak kelahiran Pendang, Kedah menjadi pemain pertama dibawa masuk bagi memperkukuhkan pertahanan pasukan dari utara tanah air itu.
Pengumuman kemasukan pemain baru itu diumumkan menerusi media Facebook dan Twitter rasmi KDA FC.

OUR NEW BLOOD, MOHD AKMAL MD ZAHIR!
Selamat datang kepada Mohd Akmal Md Zahir, pemain pertahanan berusia 28 tahun ini berasal dari Pendang Kedah. pic.twitter.com/MJMbA2fmwl
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) June 5, 2022
Karier Akmal bermula bersama pasukan Sime Derby FC pada tahun 2016 sebelum menyertai beberapa pasukan lain seperti UiTM FC dan UKM FC sebelum dibawa masuk ke Melaka United pada tahun 2020.
Sebelum ini Kedah berhadapan dengan kelonggaran di bahagian pertahanan kerana telah dibolosi dengan jumlah gol yang amat besar. Prestasi Jang Suk-won juga dilihat terumbang ambing dan kurang memuaskan sehingga akhirnya digugurkan oleh Kedah baru-baru ini.

Akmal akan bergandingan dengan pertahanan lain seperti Rodney Celvin, Heshamuddin, Loqman Hakim, Fareez Fadzil, Syazwan Tajuddin dan Marc Vales.

Kedah dijangka akan membuat beberapa lagi perubahan untuk memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi baki saingan liga pada musim ini serta cabaran Piala AFC yang disertai.
Selain dari prestasi Jang yang menjadi pertikaian dikalangan penyokong pasukan Kedah sebelum ini, nama Dennis Buschening juga turut dikritik kerana sering dibelenggu dengan kecederaan. Dennis juga dijangka bakal digugurkan oleh Kedah bagi memberi ruang kepada pemain import baru untuk memperkuatkan pasukan.
