Mesin permainan anak patung haram disisi Islam kerana permainan itu dengan jelas mempunyai unsur perjudian yang dikategorikan sebagai al-Maisir.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi penjelasan berkaitan dengan mesin permainan anak patung dan barangan lain yang kini banyak terdapat di pasaraya seluruh negara. Permainan tersebut dikatakan melibatkan pertaruhan wang di mana sekiranya menang, pemain akan mendapat barangan yang dipilih namun sekiranya gagal, pemain akan mengalami kerugian wang.

“Ini adalah satu bentuk pertaruhan yang dilarang oleh syara’ iaitu satu pihak akan mendapat keuntungan dan satu pihak lagi akan kerugian.
“Ia juga dilihat mempunyai unsur penipuan dan memperdayakan kanak-kanak untuk tujuan keuntungan,” katanya dalam hantaran di akaun Instagramnya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, mana-mana orang yang beragama Islam juga tidak boleh membantu menguruskan mesin perjudian seperti mesin permainan itu kerana ia termasuk memakan harta secara batil. Perkara itu adalah dilarang dalam agama Islam.

“Umat Islam di negeri Perlis hendaklah menjauhi daripada terlibat dengan permainan pertaruhan di mesin seumpama itu kerana ia termasuk dalam dosa besar,” ujar beliau lagi.
