Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun mahu saman kerajaan Malaysia pula dengan memfailkan saman pemula terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Mahkamah Majistret melalui firma guaman, Tetuan Asiah Abd Jalil Chambers pada 7 Jun lalu.
Siti Bainun juga meminta Rumah Bonda boleh beroperasi seperti sedia kala. Pengasas Rumah Bonda itu telah menamakan Pengarah JKM Wilayah persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL)sebagai defendan tunggal dan mahkamah menetapkan pengurusan kes tersebut pada 22 Jun 2022.

Pada 20 Ogos dan 25 November 2021, Siti Bainun selaku Pengasas Rumah Bonda telah didakwa atas kesalahan menganiaya dan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down di sebuah Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju.
Rumah Bonda ditubuhkan untuk memberi tempat perlindungan kepada remaja dan wanita yang hamil di luar nikah, remaja dan wanita yang diinaya serta mereka yang terlibat dengan gejala sosial serta pusat perlindungan sementara kepada bayi yang dilahirkan luar nikah.
“Kakitangan JKMWPKL termasuk Pegawai-Pegawai Pelindung JKM sememangnya mengenali saya dan sering berurusan dengan saya mengenai hal ehwal penjagaan dan perlindungan wanita serta kanak-kanak yang menjadi penghuni Rumah Bonda,”kata Siti Bainun dalam afidavit tersebut.

Plaintif turut memaklumkan bahawa dia telah melakukan segala usaha untuk mendaftarkan Rumah Bonda di Taman Setapak dengan pihak JKMWPKL namun belum selesai kerana terdapat beberapa prosedur lain yang perlu dipatuhi.
Namun pada 9 Julai 2021, Siti Bainun memaklumkan dia telah menerima Notis Lak (Penutupan) daripada JKMWPKL yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.
Pada 20 April lalu, Rumah Bonda turut menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKMWPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan) di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993. Bayaran telah dibuat pada 25 April lalu.

Bagaimanapun pihak penguasa JKMWPKL memaklumkan kepada Siti Bainun, Rumah Bonda banya boleh dibuka semula atas perintah mahkamah sahaja.
“Rumah Bonda juga telah dituduh oleh masyarakat telah menyalahgunaan wang sumbangan dan menyimpan barang-barang peribadi bekas penghuni secara salah sedangkan premis terbabit telah dikunci oleh JKMWPKL dan tidak boleh diakses oleh ssesiapa,”kata Siti Bainun yang turut memberitahu dia masih perlu membayar sewa RM2,800 sejak ia ditutup hingga sekarang.
Siti Bainun turut memohon kepada mahkamah supaya Rumah Bonda dibenarkan kembali beroperasi di Taman Setapak seperti sedia kala.
