“Bukan rezeki”, itulah perumpamaan yang paling tepat apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas terlepas ‘plamaker’ Jordan, Ahmed Israiwah. Namun belum berputus asa, satu lagi bintang Jordan Saleh Rateb kini dalam radar Kedah sebelum jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia (Liga M) ditutup.
Sebelum ini, Kedah kempunan untuk mengikat ‘plamaker’ serba boleh skuad kebangsaan Jordan, Israiwah bagi memperkuatkan kembali pasukan Kedah susulan kegagalan mereka mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat pertemuan terakhir liga.

Kedah terpaksa membuat rombakan secara besar-besaran apabila beberapa pemain import yang ditandatangani musim ini dilihat gagal menampilkan aksi yang membanggakan. Ada juga pemain import yang terpaksa diketepikan susulan kecederaan jangka panjang yang dialami.
Skuad kendalian Aidil Sharin itu dilihat tempang apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir malah turut dibolosi dengan jumlah jaringan yang banyak. Situasi itu mendedahkan kepincangan hampir di semua bahagian.

Terbaru pemerhati bola sepak T.Avineshwaran mendedahkan selepas perjanjian Ahmed Israiwah dengan pasukan Kedah dibatalkan, Kedah belum berputus ada untuk mendapatkan seorang lagi pemain import dengan mensasarkan pemain dari Timur Tengah.
Malah dia mendedahkan Kedah kini sudah menemui seorang lagi pemain antarabangsa Jordan yang memiliki kualiti yang dicari oleh Aidil Sharin. Namun tidak didedahkan lagi kerana pemain tersebut masih lagi dalam tugasan bersama pasukan kebangsaan Jordan.

Difahamkan rundingan masih di peringkat awal dan persetujuan bakal dicapai sesudah pasukan kebangsaan Jordan menamatkan kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung ketika ini.
Namun desas-desus mengatakan pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Saleh Rateb yang berusia 27 tahun kini berada dalam radar Kedah sebagai import terbaru skuad Sang Kenari itu.

Saleh Ibrahim Rateb yang berketurunan Palestin itu kini bersama dengan pasukan Al Khaldiya. Memiliki ketinggian 5 kaki 8 inci, pemain itu mempunyai rembatan kencang kaki kanan serta mempunyai tubuh yang sasa.
Memulakan karier sebagai pemain bola sepak kebangsaan Jordan bersama skuad bawah-19 tahun pada tahun 2012, dan menganggotai skuad senior Jordan sejak dari tahun 2014 sehingga kini.
Dengan usia yang masih muda, Saleh merupakan calon yang paling sesuai untuk dibawa ke Kedah bagi membantu skuad dari utara tanah air itu untuk menghadapi saingan AFC kelak.

Saleh yang kini bersama skuad Al Khaldiya SC telah muncul dalam 11 perlawanan AFC dengan menyumbang tiga gol walaupun diturunkan sebagai pemain posisi tengah.
Pengalaman Saleh beraksi dalam saingan AFC pastinya menjadi azimat buat Aidil Sharin di dalam membentuk pasukan Kedah yang lebih mantap bagi mengharungi saingan AFC yang bakal berlangsung di Indonesia hujung bulan ini.