Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan kerajaan haramkan kenderaan berusia 10 tahun ke atas bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail itu mencadangkan had usia kenderaan di atas jalan raya tidak melebihi 10 tahun. Perkara itu didakwa boleh mengurangkan kesasakan lalu lintas yang membelenggu hampir seluruh rakyat di negara ini.

Beliau turut menegaskan sekiranya pihak kerajaan mengambil pakai polisi tersebut ia dapat menyeimbangkan jumlah kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.
Jadi mana-mana kenderaan yang sudah berusia 10 tahun atau lebih perlu dilupuskan dan tidak sepatutnya berada di atas jalan raya.

Jika dilihat dari sudut positif, melupuskan kereta yang berusia 10 tahun atau lebih merupakan amalam yang sangat baik kerana risiko kerosakan di atas jalan raya dapat dielakkan. Umum mengetahui antara salah satu punca kesesakan jalan raya adalah diakibatkan oleh kenderaan yang mengalami kerosakan di atas jalan raya.
Selai dari itu, melupuskan kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas adalah baik kerana, pengguna dapat menggantikan dengan model kenderaan yang lebih baru. Sudah pasti teknologi kenderaan baharu lebih baik dan lebih mesra alam sekitar berbanding dengan kenderaan lama yang mempunyai kadar pelepasan karbon yang lebih tinggi.
Namun ada juga netizen yang tidak bersetuju dengan cadangan melupuskan kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas boleh mengurangkan kesesakan jalan raya. Rata-rata netizen menyuarakan sekiranya kenderaan tersebut dilupuskan pastinya akan digantikan dengan kenderaan baharu. Jadi masalah kesesakan akan berlaku kembali.
Apa sahaja polisi baharu yang bakal diambil oleh kerajaan pastinya akan mendatangkan kesan sama ada positif atau negatif. Maka pihak kerajaan disarankan supaya terlebih dahulu mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam serta menambah jaringan laluan pengangkutan awam sedia ada bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
