Khabar kurang enak dari selatan tanah air bertiup kembali minggu ini dengan pemain licik Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid dijangka akan meninggalkan kelab tersebut. Akhyar angkat kaki tinggalkan JDT untuk sertai Sabah FC berikutan peluang untuk pemain itu membarisi kesebelasan utama dikatakan amat tipis.
Ketika ini penyokong JDT sedang rancak membincangkan perkara tersebut pada perpindahan kedua musim ini. Akhyar dikatakan bakal dipinjamkan kepada Sabah FC yang dipimpin oleh Datuk Ong Kim Swee.

Meskipun ianya hanya khabar angin, penyokong turut memberikan pandangan masing-masing dengan ada yang melihat ianya sebagai tindakan positif yang perlu dilakukan oleh Akhyar.
Ketika ini Akhyar dilihat sukar untuk beraksi selama 90 minit bersama skuad JDT sama ada di peringkat liga tempatan mahupun kejuaraan antarabangsa.

Sekiranya pemain berusia 23 tahun itu bersetuju untuk dipinjamkan kepada skuad Sang Badak, ia dapat membantu menambahkan minit permainan pemain tersebut seterusnya mengekalkan prestasi semasa yang membanggakan.
Pasukan Sabah FC yang dipimpin oleh bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee ketika ini berada dipuncak liga dengan memintas JDT dengan kelebihan dua mata pastinya mahu mengekalkan momentum kemenangan mereka.
Kemasukan Akyar dijangka bakal memberikan nafas baru kepada jentera serangan Sabah FC. Akhyar memiliki rembatan kaki kiri yang kencang serta gelecekan yang mampu memeningkan pertahanan lawan. Kehadiran pemain itu amat dinanti-nantikan oleh penyokong Sabah FC yang dahagakan kemenangan.
Akhyar juga pernah dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee ketika beliau menjadi pengendali skuad Harimau Malaya pada 2017. Malah Ong Kim Swee telah mengenali Akhyar sejak pemain itu berusia 18 tahun lagi.

Sekiranya khabar angin ini benar maka ia umpama reunion buat Akhyar kerana dia akan kembali bermain bersama-sama dengan bekas “Capten Marvel” Kedah, Baddrol Bakhtiar dan juga Rizal Ghazali sepertimana dahulu ketika mewakili Kedah.
Ketika ini Sabah FC dibarisi oleh bintang-bintang tempatan yang telah mencipta nama dalam arena bola sepak tempatan seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali dan Irfan Fazail.