Kedah Darul Aman (KDA FC) memulakan kempen Piala AFC 2022 dengan langkah kiri apabila gagal mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama mereka dalam Kumpulan G. Kedah jadi “lauk” Bali United FC apabila wakil dari Indonesia itu mudah meratah Kedah dengan jaringan 2-0 semalam.
Pada perlawanan semalam Kedah menurunkan pemain import baharu mereka Sanrawat Dechmitr dari Thailand dan Mahmoud Al Mardi dari Jordan.

Di awal permainan Kedah nampak seolah-olah cepat menyesuaikan diri dengan padang serta dapat menyerap tekanan dari jentera serangan Bali United. Beberapa percubaan bahaya dari penyerang Bali United berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin membuat percaturan berani apabila menurunkan beberapa pemain baharu yang dibawa masuk ketika jendela kedua perpindahan baru-baru ini sebagai kesebelasan utama. Namun ianya dilihat memakan diri apabila jentera Kedah dilihat gagal berfungsi dengan baik.
Menuju penghujung separuh masa pertama, penonton dikejutkan dengan jaringan dari penyerang Kedah, Ngah Wanja. Namun jaringan itu bukanlah jaringan yang dinanti-nantikan oleh Kedah kerana Ngah Wanja secara tidak sengaja menjaringkan gol ke gawang sendiri.
GOL! Bali United 1-0 Kedah
45’+2 Ngah Wanja (OG)
Kumpulan G#AFCCup2022 | #BUFvKDA pic.twitter.com/Bp03RnzrsI
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) June 24, 2022
Kedah cuba bangkit di separuh masa kedua namun tiada sebarang gerakan berbahaya berjaya dicipta oleh skuad kendalian Aidil Sharin. Permainan Kedah dilihat tidak tersusun dan lebih membimbangkan adalah mereka seolah-olah tiada idea bagaimana untuk menembusi benteng pertahanan Bali United.
Hujan lebat sejak dari awal permainan sedikit merencatkan perlawanan dengan kedua-dua pasukan menampilkan permainan berhati-hati, namun kesempatan itu bijak digunakan oleh Bali United untuk menguji benteng pertahanan Kedah. Hampir keseluruhan permainan semalam berjaya dikuasai oleh Bali United.
Minit ke-80, Bali United sekali lagi menghukum Kedah apabila berjaya menambah jaringan menerusi tandukan cantik dari Rahmat selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan.
GOL! Bali United 2-0 Kedah
82′ Rahmat
Kumpulan G#AFCCup2022 | #BUFvKDA pic.twitter.com/FbEEe8OjJo
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) June 24, 2022

90 minit permainan semalam menyaksikan pasukan Kedah bergelut dengan masalah persefahaman di antara pemain. Sebaliknya Bali United nampak lebih garang dengan asakan bertali arus dan permainan tersusun yang ditampilkan oleh wakil dari Indonesia itu.
Dengan keputusan 2-0 semalam, Bali United berjaya berada di kedudukan teratas kumpulan G bersama kelab dari Kemboja, Visakha FC yang turut berjaya menumbagkan kelab dari Filipina, Kaya FC dengan jaringan 2-1.