Pelakon yang diberikan jolokan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira membuat pendedahan yang mengejutkan ramai pihak apabila menjawab soalan yang diajukan kepada dirinya berkaitan dengan kehidupan peribadi beliau. Erra Fazira sanggup jadi isteri kedua sekiranya itulah percaturan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada dirinya.
Pelakon dan penyanyi yang berusia 48 tahun itu mendedahkan dia enggan celupar dalam setiap tutur kata kerana takut ianya boleh memakan diri sendiri.

Diajukan soalan berkaitan dengan jodoh, Erra bersikap terbuka dengan menyerahkan semuanya kepada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
“Apa yang saya belajar, kita jangan cakap tidak mahu itu ini, nanti kata-kata memakan diri. Saya pernah beberapa kali termakan apa yang dikatakan.

“Jadi, saya tidak berani mengatakan saya hanya ingin menjadi isteri nombor satu, tidak mahu jadi kedua.
“Kita tidak tahu percaturan Allah. Tiba-tiba saya jadi nombor dua, tidakkah ia memakan diri saya sendiri?
“Pada usia sekarang, andai ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, biarlah ia terjadi kerana Allah. Namun, tentunya saya menginginkan perkahwinan tenang dan damai,” katanya kepada BH Online.
Pelakon berwajah cantik itu juga menegaskan, dia tidak perlu untuk mendedahkan semua perihal peribadinya kepada pengetahuan umum kerana merasakan tugasnya sebagai pelakon dan penyanyi susah selesai.
“Kalau dahulu, saya rasa bertanggungjawab untuk menguar-uarkan kepada peminat mengenai status, tetapi dalam keadaan sekarang banyak aspek yang perlu dilihat.
“Jadi, saya akan melihat pada keadaan pada ketika itu. Jika perlu diumumkan, saya akan berbuat demikian.

“Namun, sekiranya berdiam jalan terbaik, maka saya akan pilih untuk berdiam. Ini kerana saya bukan lagi anak remaja yang baru hendak memulakan kehidupan.
“Pada usia sekarang, saya tidak berhutang dengan sesiapa. Oleh itu, saya mohon doakan yang terbaik.
“Jika ditakdirkan perkahwinan itu lancar dan baik, saya tidak merasa kenapa ia perlu dirahsiakan. Namun, sekiranya mencabar dan perlu menghormati perasaan keluarga atau perkara lain, jadi ia perlulah dirahsiakan,” katanya.
Sebelum ini Erra sudah melalui dua kali pengalaman berumah tangga dan dikurniakan cahaya mata Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia 13 tahun.