Kekalahan Kedah Darul Aman (KDA FC) kepada Bali United pada kempen Piala AFC 2022 di Stadium Capt. I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Jumaat lalu telah mengecewakan banyak pihak termasuk bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote. Ramon Marcote dedah sebab utama Kedah kalah pada pertemuan pertama Kumpulan G itu walaupun kedua-dua pasukan dilihat tidak memberikan aksi terbaik masing-masing.
“Dua-dua pasukan tidak kira Kedah atau Bali United sebenarnya tidak bermain dengan baik, cuma Bali United lebih menguasai bola serta memiliki peluang yang lebih bagus.

“Skuad Kedah tampak gagal mendominasi permainan serta menguasai kawasan serangan dan pertahanan.
“Apabila gagal mendominasi kawasan tengah, dua kawasan iaitu pertahanan dan serangan ketika memasuki kawasan lawan wajar dimanfaatkan sebaik mungkin, jadi ia jelas gagal disempurnakan barisan pemain Kedah,” katanya kepada wartawan.
Ramon juga menegaskan kegagalan pemain baharu yang dibawa masuk ketika jendela kedua perpindahan baru-baru ini membentuk keserasian dengan pasukan menyebabkan Kedah kehilangan rentak sepanjang 90 minit permainan.
“Pemain baharu belum memiliki masa yang cukup untuk mendapatkan persefahaman, jadi kita perlu memberikan mereka lebih banyak masa untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Cuma pada masa sama, Kedah harus segera mendominasi baki perlawanan untuk mendapatkan keputusan yang lebih positif selepas ini.

“Suka atau tidak, Bali United berjaya melakukan yang lebih baik pada malam ini (Jumaat),” jelas Ramon lagi.
Pada perlawanan Jumaat lalu Kedah menurunkan pemain import baharu mereka Sanrawat Dechmitr dari Thailand dan Mahmoud Al Mardi dari Jordan.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin membuat percaturan berani apabila menurunkan beberapa pemain baharu yang dibawa masuk ketika jendela kedua perpindahan baru-baru ini sebagai kesebelasan utama. Namun ianya dilihat memakan diri apabila jentera Kedah dilihat gagal berfungsi dengan baik.

Hujan lebat sejak dari awal permainan juga sedikit merencatkan perlawanan dengan kedua-dua pasukan gagal menampilkan permainan pantas serta kemas. Namun pujian harus diberikan kepada Bali United apabila pasukan itu bijak menggunakan peluang-peluang yang hadir untuk menguji benteng pertahanan Kedah.
Kedah tewas dengan jaringan 0-2 kepada Bali United yang berjaya berada di kedudukan teratas kumpulan G bersama kelab dari Kemboja, Visakha FC yang turut berjaya menumbagkan kelab dari Filipina, Kaya FC dengan jaringan 2-1.