Rakan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia pernah mendengar Siti Bainun dakwa budak “sindrom down” tak rasa sakit walaupun dikasari oleh orang lain.
Penyelidik Undang-Undang, Suhana Zam 40, mendedahkan perkara itu dinyatakan sendiri oleh Siti Bainun selepas dia menegur pengasas Rumah Bonda itu ketika dia mencium seorang bayi “sindrom down” dengan kasar.

“Saya berkata pada dia (Siti Bainun), jangan cium budak itu kuat-kuat sangat sebab nanti dia sakit.
“Siti Bainun menjawab semula dengan mengatakan ‘budak sindrom down tak rasa sakit, kak’ kata saksi itu.

Bayi “sindrom down” itu merupakan salah seorang anak angkat yang diambil oleh Siti Bainun untuk dijaga di Rumah Bonda yang diberi nama Tulus Bael.
Siti Bainun 30, sedang dalam perbicaraan di mahkamah atas dua pertuduhan, pengabaian dan penganiayaan terhadap seorang remaja perempuan “sindrom down” yang bernama Bella sehingga mangsa mengalami kecederaan serius di anggota badan dan tekanan emosi.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Suhana juga mendedahkan dia dilarang untuk membuat sebarang kerja ketika berkunjung ke kondominium yang didiami oleh Siti Bainun di Wangsa Maju.

Sebaliknya Siti Bainun akan mengarahkan beberapa remaja lain di bawah jagaannya iaitu Balqis, Yasmin dan Aida untuk melakukan kerja-kerja rumah itu.
“Semasa saya ke rumahnya, saya tahu Bainon mempunyai peraturan rumahnya sendiri dan dia biarkan ketiga-tiga gadis ini untuk menguruskan kerja rumah, ujar Suhana.
