Kerajaan ketika ini dilihat tidak mampu mengawal harga ayam dari terus melonjak naik. Taktik terbaharu yang digunakan oleh peniaga adalah mengenakan caj potong ayam. Dilaporkan caj potong ayam RM2.40 seekor dikenakan oleh peniaga di Pasar Borong Selangor.

Taktik terbaharu itu dikesan apabila pihak kerajaan mengumumkan harga syiling ayam sebanyak RM8.90 sekilogram. Namun peniaga memberi alasan, harga yang diperoleh dari peraih juga telah meningkat dan mereka perlu menaikkan sedikit harga untuk mendapatkan keuntungan.
Namun dengan harga ayam dari pemborong yang makin meningkat, kaedah mengenakan caj potong ayam dilihat semakin menjadi-jadi dikalangan penjual ayam. Dengan pengenalan caj potong ayam, sudah pasti pelanggan perlu membayar ayam pada harga yang lebih mahal walaupun peniaga meletakkan harga syiling RM8.90 sekilogram.
Menurut pengguna yang ditemui di Pasar Borong Selangor, caj potong ayam yang dikenakan oleh peniaga adalah tidak patut. Seorang suri rumah, Nor Ashekin Anuar, 40, mendakwa terkejut apabila ayam yang dibeli dikenakan caj pemotongan.
“Kalau kita tengok sekarang peniaga di pasar ini sudah menaikkan harga ikut harga mereka. Mereka sudah tetapkan harga barang ikut sesama sendiri.
“Kalau tengok sekarang ada ayam yang dinaikkan sehingga RM15 sekilogram termasuk caj potong. Kita tengok harga pasar borong dengan harga kedai runcit berbeza. Harga kedai runcit sekarang lagi murah,” katanya ketika ditemui di sini.
Ada juga pengguna yang mengeluh ayam yang dibeli mencecah harga RM20 ringgit seekor. Rashidah Tahir, 52, terkejut berat ayam yang dibelinya sekilo lebih sahaja, namun perlu membayar RM20 ringgit lebih.
“Kalau dimasukkan caj potong memang mahal sangat dan membebankan pengguna. Saya kena cari pilihan lain macam ikan atau udang yang lebih munasabah, ” keluh Rashidah.
Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membuat pengumuman bahawa harga ayam dijangka akan naik bulan Julai apabila ia diapungkan kelak.
