Bekas pemain Swansea City, Jordi Amat selangkah kaki lagi sertai JDT bagi mengisi slot pemain ASEAN skuad tersebut. Perkara itu didedahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu sesi khas bersama peminat Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri awal minggu ini.

Jordi Amat merupakan pemain warisan Sepanyol-Indonesia, berusia 30 tahun dan sebelum ini pernah beraksi di Eropah hampir 12 tahun. Amat sebelum ini pernah menyuarakan keinginannya untuk beraksi dalam kancah bola sepak Asia.
Sebelum ini pemain warisan itu pernah beraksi bersama Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis, Swansea City dan K.A.S Eupen dari Belgium. Dengan pengalaman luas beraksi di liga Eropah khidmat Amat pastinya amat diperlukan oleh JDT bagi memperkukuhkan pasukan dari selatan tanah air itu.

Menurut TMJ, Jordi Amat akan beraksi bersama JDT pada musim ini dan segala proses dokumentasi pengesahan taraf kerakyatan sebagai Warga Negara Indonesia (WNI) akan diselesaikan secepat mungkin.
“Saya rasa dia akan jadi aset terbesar Indonesia kerana sudah bermain 100 lebih perlawanan di La Liga, 100 lebih perlawanan di English Premier League.
“Itu adalah satu kerugian yang sangat besar (sekiranya Indonesia tidak memberikan pasport) iaitu Jordi Amat. Jordi akan bermain dan akan menjadi pemain JDT.
“Perkara ini saya melihat sebagai peluang untuk JDT mendapatkan pemain asal dari Sepanyol yang begitu berpengalaman, berkualiti untuk bermain dalam pasukan kita,” kata TMJ ketika sesi khas bersama peminat JDT
Menjengah ke media sosial Jordi Amat rata-rata penyokong bola sepak Indonesia ternyata kecewa dengan tindakan pemain itu. Penyokong menggunakan tanda pagar #amatkecewa dalam setiap komen yang diberikan.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) June 28, 2022
Kekecewaan jelas terpancar di kebanyakkan penyokong bola sepak Indonesia dengan ada yang mengatakan JDT sekadar mahu menggunakan kesempatan yang ada menggunakan status kewarganegaraan Indonesia pada Jordi untuk dimasukkan sebagai pemain ASEAN bagi membolehkannya beraksi bersama skuad Harimau Selatan itu.
“Perlu ada klausa yang jelas yang tidak benarkan pemain untuk bermain di Asia terutamanya Asia Tenggara. Jika mahu ke Asia, minimum adalah Jepun, Korea [Selatan] atau Arab Saudi,” katanya.
