Dion Cools sertai JDT lebih awal dari jangkaan? Nama Dion Cools kini semakin menjadi sebutan dikalangan peminat bola sepak tempatan selepas aksi yang membanggakan ditunjukkan oleh pemain kacukan Belgium-Malaysia ketika mewakili skuad Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2022.
Sebelum ini Tengku Mahkota Johor (TMJ) pernah mendedahkan bahawa Dion Cools bakal menyertai skuad JDT pada musim akan datang.

Dion Cools ketika ini masih mempunyai kontrak bersama kelab Denmark, FC Midtjylland yang akan tamat hujung tahun ini. Namun dengan harga pasaran Cools yang terlalu tinggi JDT perlu bersabar untuk membawa pemain itu ke Johor secara percuma.
Pemain kacukan Belgium-Malaysia berusia 26 tahun itu memulakan karier di pentas Eropah bersama akademi bola sepak Anderlecht dan OH Leuven.
Cools juga pernah disenaraikan sebagai pemain yang berbakat besar di Eropah dan merupakan tunjang utama pasukan Belgium B-21. Dengan prestasi yang membanggakan, Cools telah menarik perhatian kelab Brugge dan disitulah karier bola sepak di Eropah pemain itu berkembang.
Kelab Brugge turut berpeluang bersaing pada Liga Juara-Juara Eropah dan Liga UEFA. Berbekalkan kepada skill individu yang tinggi serta komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh pemain itu setiap kali diturunkan, Cools kemudiannya dipinang oleh kelab gergasi Denmark, FC Midtjylland pada Januari 2020.
Timbul khabar angin di media sosial yang mendedahkan sebuah kelab Liga Perdana Inggeris, Brentford turut berminat mendapatkan khidmat Cools pada jendela perpindahan musim panas ini.
Spekulasi itu dikuatkan lagi ekoran kelab Brentford turut dimiliki oleh pemilik FC Midtjylland, iaitu Matthew Benham.

JDT perlu bertindak segera sekiranya berhajat membawa pulang Cools untuk memperkuatkan jentera pertahanan Harimau Selatan. Ketika ini JDT dilihat mempunyai pertahanan yang paling mantap dalam saingan Liga Malaysia apabila menandatangani pemain kacukan berprofil tinggi iaitu Jordi Amat.
