Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain risau dengan ancaman yang bakal dihadirkan oleh jentera serangan Kedah Darul Aman (KDA FC) pada pertemuan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini. Nafuzi risau Ngah Wanja dan Mahmoud Mardi “kenduri gol” dengan aksi yang ditampilkan oleh gandingan penyerang Kedah yang dilihat semakin serasi ketika ini.
Kelibat duo import Kedah itu mula menghadirkan kegentaran kepada setiap pengendali apabila ketajaman mereka di hadapan pintu gol terbukti dalam dua perlawanan terakhir Kedah pada saingan Kumpulan G, Piala AFC 2022.

Kedah sebelum ini menang bergaya dengan jaringan 4-1 menewaskan Kaya FC dengan Aidil Sharin sekali lagi membuktikan kehebatan taktikal beliau apabila berjaya membentuk gandingan jentera serangan yang menggerunkan pihak lawan.
Kombinasi pemain import baharu betul-betul memberikan impak yang besar kepada Kedah apabila sekali lagi mudah meratah Visakha FC dengan jaringan 5-1.
Sembilan jaringan dalam dua perlawanan bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah oleh Terengganu FC ketika ini. Ketajaman Ngah Wanja mula terbukti apabila beberapa kali menjaringkan gol secara solo, dengan penyudah yang tajam.
Memiliki susuk fizikal yang tegap dan tinggi, Ngah Wanja mampu merobek gawang Terengganu sekiranya pertahanan tidak betul-betul mengunci pergerakan pemain penyerang itu.
Hatrik bintang import baharu Kedah ketika bertemu Visakha FC, Mahmoud Al-Mardi sudah cukup membuktikan kualiti yang tinggi dimiliki oleh pemain itu.
Mahmoud merupakan seorang pemain yang mempunyai keyakinan dan komitmen tinggi disepanjang permainan. Memiliki rembatan yang kencang serta skill individu yang tinggi mampu menghadirkan gerun kepada pasukan lawan.
Nafuzi ketika menjawab soalan wartawan mengingatkan pasukan Terengganu supaya kekal fokus dan mengelak dari melakukan kesilapan yang boleh diambil kesempatan oleh pasukan lawan.
“Kemasukan tonggak import baharu Kedah berjaya memperkemas skuad Sang Kenari terutama di bahagian serangan.
“Malah, mereka (KDA) kini berada pada tahap terbaik dan semakin yakin selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan Piala AFC dengan menang bergaya tempoh hari,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
“Saya akui permainan di tempat sendiri bukan jaminan untuk kita menang apabila berdepan dengan pasukan kuat seperti Kedah, tetapi saya tetap mengharapkan keajaiban di SSMZA pada Rabu,” katanya.
