Seorang lelaki hina Allah dan agama Islam di Puchong telah ditahan untuk siasatan oleh pihak polis di Bukit Kuchai semalam dan akan direman di Mahkamah Majistret Sepang.
Siasatan mendapati video yang tular berdurasi 36 saat itu memaparkan seorang lelaki yang berstatus duda menghina Allah dan agama Islam secara terang-terangan di dalam satu platform media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihak polis telah menerima aduan dari orang awam pada jam 3.28 pagi Ahad di Cyberjaya.
“Pada hari yang sama kira-kira pukul 12.30 tengah hari, polis melaksanakan tangkapan terhadap lelaki terbabit di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.
“Polis turut merampas satu telefon bimbit yang digunakan oleh suspek bagi merakam video itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Suspek yang berusia 39 tahun itu bekerja sebagai penghantar makanan dibawa ke Mahkamah Sepang pada hari ini untuk permohonan reman.
Semakan terhadap suspek mendapati dia tidak memiliki rekod jenayah lampau selain ujian air kencing adalah negatif dadah.
“Setakat ini, terdapat enam laporan polis yang dibuat berkaitan dengan isu ini,” ujarnya.
Kes tersebut akan disiasat oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan diklasifikasi di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Tambah Wan Kamarul, orang ramai digingatkan supaya menghentikan spekulasi dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Polis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.
