Mahmoud Al-Mardi selamatkan maruah Kedah apabila berjaya membantu Sang Kenari untuk mencatatkan kemenangan 3-1 menewaskan Sarawak United di Stadium Darul Aman semalam.
Sebelum ini pasukan Sang Kenari itu gagal mengutip sebarang mata selepas kali terakhir berjaya menewaskan Penang FC dengan jaringan 2-1 pada 17 April lalu.
Namun, badi kekalahan seolah-olah melekat kepada pasukan dari utara tanah air itu apabila kalah di dalam dua pertemuan menantang Terengganu FC ketika pertembungan dalam saingan Piala FA dan Liga Super.
Walaupun mencatatkan kemenangan di dalam perlawanan semalam, Kedah yang menggungguli carta kolompok lima terbaik Liga Super tetap menjadi pasukan yang paling banyak dibolosi gol ketika ini.
Semalam Kedah kembali beraksi di laman sendiri dengan pasukan anak didik Aidil Sharin itu ingin membuktikan mereka masih mampu memberikan saingan dalam Liga Super. Aidil melakukan rombakan pasukan selepas kekalahan kepada Terengganu tempoh hari dengan merehatkan Syazwan Zainon dalam kesebelasan utama pasukan.
Pemain sayap lincah Muhammad Al Hafiz dimasukkan bagi memberikan sengat di bahagian serangan dan membantu Ngah Wanja untuk mencipta jaringan.
Percaturan itu berbaloi apabila Kedah tidak menunggu lama untuk memberikan amaran kepada Sarawak apabila pada minit ke sembilan, bintang import profilik mereka Mahmoud Al-Mardi bijak menyudahkan hantaran lintang cantik dari pemain muda Fayadh Zulkifli.
Kedah berjaya mengikut keputusan 1-0 menuju tempoh rehat separuh masa pertama dengan banyak menguasai bahagian tengah dan kerap melakukan serangan mengancam kubu Sarawak.
Bersambung babak kedua, Sarawak mempertingkatkan tempo permainan dengan kerap melakukan serangan balas pantas yang berbahaya. Hasilnya pada minit ke-52 Sarawak berjaya mengikat permainan dengan jaringan cantik dari Uche Agba.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kedah dilihat mula menggandakan serangan namun ketumpulan barisan hadapan kerap kali mensia-siakan peluang yang terhidang.
Ronald Ngah Wanja membuktikan bahawa pemain itu patut dirantai apabila membuktikan ketajaman beliau pada minit ke-75 apabila rembatan dari luar kotak penalti berjaya menerjah gawang Sarawak United.
Kedah sepatutnya berjaya menjaringkan dua atau tiga lagi gol namun ketangkasan penjaga gawang Sarawak, Tauffiq Ar Rashid berjaya menyekat kemaraan Sang Kenari.
Namun pada minit ke-80, Al-Mardi membuktikan bahawa pemain import itu adalah pelaburan yang paling berharga buat Kedah apabila membalas kepercayaan dari pengendali Aidil Sharin dengan sepakan lencong yang cantik berjaya memperdayakan Tauffiq.
Kejayaan Kedah semalam berjaya melonjakkan mereka naik ke tangga keempat liga dengan 17 mata selepas mengharungi 11 perlawanan.
