Prestasi turun naik pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) musim ini bagaikan tiada noktah apabila sekali lagi gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 1-2 kepada KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Cheras semalam.
Sebelum perlawanan bermula, Kedah dikhabarkan kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan. Pengendali Kedah, Aidil Sharin mengambil keputusan untuk menurunkan beberapa orang pemain muda bagi mengisi kekosongan itu.
Perlawanan nampak seimbang di separuh masa pertama dengan masing-masing saling melancarkan serangan. Ketangkasan Ifwat Akmal dan Kevin Mendoza berjaya menafikan percubaan bertali arus ke gawang masing-masing.
Aiman Afif berjaya memecahkan kebuntuan apabila bijak menanduk kemas hantaran lintang dari Syazwan Zainon dan menghadiahkan gol pertama buat pasukan Kedah pada minit ke-45.

Malang buat Kedah apabila Ifwat ditimpa kecederaan dalam insiden perlanggaran dengan penyerang KL City dan digantikan dengan Sharil Sa’ri.
Babak kedua permainan menyaksikan KL City menggandakan serangan dengan hantaran kemas serta penguasaaan bola di bahagian tengah.
Serangan bertali arus KL City membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-56. Jordan Mintah membuktikan ketajaman sepakan beliau apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti bagi mengikat keputusan 1-1.
Kedah mendapat peluang untuk menjarakkan jaringan gol apabila dua minit kemudian pasukan dari utara itu dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Kamal Azizi. Namun, badi buat Ronald Ngah Wanja apabila sepakan penyerang Kedah itu hanya singgah ke palang gol KL City.
Mintah sekali lagi menghukum pertahanan Kedah apabila berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-71.
Kekalahan terbaharu Kedah ini membuatkan pasukan Sang Kenari itu turun ke tangga kelima Liga Super manakala KL City berjaya memintas Kedah untuk menghuni tangga keempat liga.
