Seperti ada yang tidak kena dalam pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila aksi cemerlang mereka di saingan Piala AFC gagal diteruskan. Dari lima perlawanan yang diharungi Kedah selepas pulang dari saingan Piala AFC, Kedah hanya mampu mencatat satu kemenangan. Adakah Kedah sedia bawa pulang dua lagenda bagi menyelamatkan maruah pasukan itu?
Satu kemenangan sahaja yang berjaya dicatatkan ketika bertemu dengan Sarawak FC. Namun lebih menyedihkan Kedah terpaksa menelan pahit kekalahan apabila tersingkir di suku akhir saingan Piala FA.
Prestasi turun naik pasukan yang diberi gelaran Sang Kenari itu sudah cukup membuatkan penyokong berasa tidak senang hati. Segala alasan yang diberikan oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin sudah tidak dapat diterima oleh penyokong yang mahukan prestasi yang lebih meyakinkan dari pasukan kesayangan mereka itu.
Namun adakah pasukan Kedah bersedia melakukan perubahan bagi menyelamatkan maruah pasukan itu. Khabar angin mengatakan bahawa bekas jurulatih Kedah dan Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersedia untuk kembali mengemudi pasukan dari utara tanah air itu.
Sebelum ini media turut melaporkan bahawa Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan bakal membuat kemunculan semula mengemudi pasukan dalam saingan Liga Malaysia selepas jawatanya selaku jurulatih skuad kebangsaan diganti dengan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Cheng Hoe sebelum ini pernah menjadi jurulatih Kedah pada musim 2017 sebelum beliau diserap masuk ke dalam kem kejurulatihan skuad kebangsaan.
Rekod baik Cheng Hoe ketika mengemudi Kedah kembali menjadi bualan apabila kejayaan beliau membimbing Kedah memenangi Liga Premier pada 2015. Sentuhan cemerlang Cheng Hoe diteruskan lagi musim 2016 apabila Kedah berjaya menewaskan Selangor pada pentas akhir Piala Malaysia.
Musim 2017, Kedah turut berjaya memenangi Piala Sumbangsih apabila berjaya menewaskan Johor Darul Taksim (JDT) menerusi sepakan penalti setelah terikat 1-1.
Lagenda kedua yang disebut-sebut sedia untuk pulang ke pangkuan Kedah adalah bekas “Captain Marvel“, Baddrol Bakhtiar yang ketika ini bersama Sabah FC.

Baddrol pernah beraksi bersama Kedah lebih dari 16 tahun sebelum membuat keputusan untuk bersama dengan pasukan Sabah dibawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.
Sekiranya kedua-dua lagenda ini kembali ke pangkuan Kedah, ia merupakan sesuatu yang menggembirakan seluruh penyokong Kedah yang mahukan sesuatu yang positif dilakukan oleh pengurusan Kedah bagi menyelamatkan maruah pasukan itu.