Kekecewaan yang amat memeritkan apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali lagi gagal mencipta kemenangan dalam perlawanan Piala AFC semalam. Malah penyokong Kedah hilang sabar dengan prestasi hambar Sang Kenari dengan ada yang bertindak sehingga mahu memotong jersi pasukan dari utara itu.
Sebelum ini Kedah tewas dalam empat perlawanan dari lima pertemuan dalam Liga Super, dan kekalahan semalam menutup perjalanan Kedah di Piala AFC selepas tunduk 1-2 kepada PSM Makassar.

Pada perlawanan semalam dapat dilihat pasukan Kedah gagal menghadirkan permainan yang berkualiti dengan hantaran yang mudah dibaca pihak lawan serta gagal mengawal permainan.
PSM Makassar dilihat lebih bernafsu untuk mencari gol awal dengan percubaan silih berganti menguji benteng pertahanan Kedah dan Ifwat Akmal yang menjadi penjaga gol.
Permainan semalam jelas menunjukkan situasi sebenar apa yang sedang berlaku dalam pasukan Kedah ketika ini. Taktikal permainan mudah dibaca pihak lawan, hantaran kurang kemas serta tiada sokongan ketika serangan membuatkan Kedah kerap berputih mata ketika membuat serangan balas.
Prestasi pengurusan serta barisan kejurulatihan Kedah musim ini juga seolah-olah hilang tumpuan sehingga gagal memacu kecemerlangan pasukan musim ini.
Kekecewaan penyokong Kedah terhadap prestasi yang tidak menentu pasukan boleh dilihat di media sosial terutama di laman Facebook. Marah, kecewa serta pelbagai riaksi lain sudah mula dilontarkan oleh penyokong.
Menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, seorang penyokong pasukan Kedah yang dikenali sebagai Tok Lalang telah memuat naik video yang memaparkan masej yang cuba disampaikan kepada pengurusan Kedah.
Mahfiz Morad turut berkongsi pendapat dengan berkata, “Untuk ada pokok yang baik, baja dan akar tu sangat penting.. mohon tukar pengurusan,”.
Malah menurut seorang penyokong yang menggunakan nama Abdul, dia berpendapat bahawa pasukan Kedah kini sedang berada dalam era kejatuhan dan dia juga menzahirkan kerisauan Kedah bakal turun ke liga bawahan sekiranya sesuatu tidak dilakukan dengan segera.
“Kedah dalam era kejatuhan di dalam gaung yang kegelapan, tunggu hari je nak main liga FAM,” katanya.
Namun melalui masej video tersebut, penyokong masih lagi sayang kepada pasukan Kedah walaupun boleh bertindak untuk mengoyakkan baju dengan gunting yang telah berada di tangan.
Untuk rekod, Kedah kini menghuni tangga ke tujuh liga dengan berkongsi 17 mata bersama Sri Pahang FC dan Terengganu FC.