Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa “Pesta Kezaliman” sedang berlaku dalam negara dengan pendakwaan terpilih terhadap musuh politik dan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘zalim’.
Menurut ahli parlimen Marang, adalah haram hukumnya untuk bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.
“Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih.
“Perkara ini berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.
“Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.
“Lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja,” katanya melalui tulisan Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya.

Bagaimanapun, tidak jelas jika kenyataan Abdul Hadi ini merujuk kepada pendakwaan yang dikenakan terhadap sekutu politiknya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini.
Pada 13 Mac lalu, bekas perdana menteri itu didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam melibatkan RM5 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.