Di sebalik kemenangan yang diraih pasukan Hijau Kuning 3-0 menewaskan Kuching City FC, ada insiden yang membuatkan penyokong kurang berpuas hati dengan pasukan dari utara itu. Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) cepat naik angin dan beberapa kali dilihat gagal mengawal emosi ketika di atas padang.
Ini selepas Amirul Afiq menerima kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki tiga minit yang menyaksikan KDA FC terpaksa bermain dengan 10 orang pemain. Amirul diperintah keluar padang tatkala pasukan KDA FC berada dalam kedudukan selesa.
Sebelum itu KDA FC memperoleh jaringan sulung pada minit ke-28 menerusi hantaran Akmal Zahir yang menewaskan penjaga gawang Kuching City FC, Julian Schwarzer.
Akmal Zahir sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring selepas meledak gol melalui tandukan dari sepakan sudut pada minit ke-48.

Anak-anak buah Nafuzi Zain terus bernafsu mencari gol apabila sekali lagi mendapat jaringan hasil Manuel Hidalgo pada minit ke-54.
Layangan kad merah kepada Amirul merupakan yang ketiga diperoleh pasukan KDA FC selepas insiden membabitkan kapten pasukan, Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain semasa aksi menentang PDRM FC, tempoh hari.
Pemain Kuching City FC, Abu Kamara juga turut menerima nasib sama apabila menerima kad merah pada minit ke-87.
“Pemain Kedah kena jaga emosi, jangan layan sangat provokasi pihak lawan kerana ia merugikan pasukan. Banyak dah game nampak pemain Kedah termakan provokasi pihak lawan,” kata seorang penyokong, Dhiaul Ihsan Shaifuddin.
Selain isu kad merah, ada penyokong berasakan permainan Kedah masih belum cukup kemas tambahan lagi ada pemain yang dilihat bersikap tamak dalam percubaan mendapatkan jaringan.
“Lee Tuck nampak tamak, suka pulun bola sendiri untuk dia. Harap perlawanan seterusnya boleh dapat bermain dalam satu pasukan. Willian Lira pula tak kreatif, masih tiada idea apabila bola sampai kat kaki dia,” kata Syaiful Jaina pula.
Kedah kini berada di kedudukan ketiga di belakang Johor Darul Takzim dan Sabah FC dengan kutipan 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan.